Friday, February 12, 2016

KELEBIHAN MEMBACA SURAH AL-KAHFI

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya, “Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”, Baginda pun bersabda, “Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Qur’an”.
 
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, February 10, 2016

TIADA LAGI BAHAGIAN PINJAMAN PERUMAHAN (BPP)!

Salam semua=)

Pertama sekali, selamat menyambut Tahun Baru Cina bagi mereka yang menyambutnya. Semoga semua berjalan lancar dengan sambutan yang penuh gembira hendaknya. Bagi kami-kami yang menumpang cuti ni, Alhamdulillah cuti 4 hari dapat di manfaatkan sebaiknya bersama keluarga tersayang eherm eherm.

Berkenaan tajuk di atas (ewah! dah macam surat rasmi), ya sekarang dah tak ada lagi Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP). Bermula dari 1 Januari 2016, BPP telah ditransformasikan ke Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), sebuah badan berkanun. Saya dapat tau info ini sejak penghujung tahun lepas daripada kawan saya seorang peguam. Dah lama rasa nak kongsi info ni, hari ni baru termakbul.

Kenapa saya sibuk dengan BPP/LPPSA ni, walaupun saya bukan penjawat awam? Saya pernah mention dalam blog ni dulu berkenaan sedikit masalah pinjaman perumahan dengan BPP ni. Kali ni biar saya bagi sedikit pencerahan, mana tau berguna untuk orang lain yang ada masalah seakan sama. Arwah abah saya seorang bekas navy, buat pinjaman BPP pada tahun 1995, di atas tanah emak saya di Terengganu. Alhamdulillah rumah siap dan mula diduduki sekitar tahun 1996. Masalahnya sepanjang tempoh rumah didiami, kami tak pernah mendapat surat berkenaan bagaimana nak menyalurkan bayaran pinjaman. Jadi arwah abah saya tak pernah bayar, sebab tak tau nak bayar macam mana, dekat siapa. Perkara ini berlanjutan sehinggalah arwah abah meninggal dunia pada tahun 2000 akibat kemalangan. Selepas daripada itu barulah kami mula mendapat surat untuk menyelesaikan hutang pinjaman (pinjaman yang sepatutnya dibayar semasa arwah hidup), diikuti dengan ugutan lelong dan sebagainya. Emak saya membuat rayuan dan meminta untuk buat potongan pencen bulan-bulan bagi melangsaikan hutang tertunggak. Namun tak mendapat respons yang sepatutnya. Sehinggalah tahun 2015 tiba-tiba kami mendapat lagi surat akan dikenakan tindakan undang-undang dan diarahkan membayar sekaligus hutang berjumlah RM11,000++, kalau tidak rumah akan dilelong! Kami cuba lagi buat rayuan untuk buat potongan pencen, malangnya permohonan ditolak. Saya yang waktu itu kasihan dan tak mau mak saya susah hati, telah mengambil tanggungjawab terhadap kes ini. Maka kami bersetuju untuk membayar secara ansurans dalam tempoh 3 tahun. Jadi sebab inilah saya sibuk dengan BPP walaupun saya bukan penjawat awam.

Sejujurnya berurusan dengan BPP dulu.. ya Allah susah sangat. Telefon tak pernah angkat. Sehingga saya terpaksa minta tolong kawan yang ada kat Sungai Buloh untuk tolong bawa mak saya ke Putrajaya masa nak buat rayuan tahun lepas. Alhamdulillah nasib baik ada kawan tolong, saya susah dapat cuti masa tu. Lepas tu hantar pula surat rayuan secara pos berdaftar. Pun tiada respon. 

Jadi hari ni saya cuba layari website LPPSA, tengok perubahan apa yang ada. Boleh tengok seperti gambar di bawah ya.

BPP diganti dengan LPPSA



Semakan baki pinjaman BPP

Saya cuba buat semakan baki pinjaman melalui SMS, caranya masih sama seperti dulu. Cuma perkataan BPP ditukarkan kepada LPPSA. Dan Alhamdulillah baki pinjaman dah berkurang jadi RM3000++. Saya tak tau kenapa atau macam mana boleh berkurang, tapi SYUKUR ALHAMDULILLAH..

Nombor telefon LPPSA

Seterusnya saya cuba pula telefon pusat panggilan seperti di atas. Alhamdulillah nampak penambahbaikan yang sangat besar. Sudah ada sistem operator berdigital dan yang paling penting, waktu menunggu hanya lebih kurang beberapa minit dah boleh bercakap dengan khidmat pelanggan. Saya bertanya tentang cara buat bayaran melalui online banking, adakah masih sama. Jawapannya ya masih sama. Cuma dalam kes saya guna Maybank2u mungkin pihak bank masih belum update pertukaran nama BPP ke LPPSA. Bayaran dibuat masih lagi akan masuk ke akaun yang sepatutnya. Saya juga minta tolong semak status pinjaman arwah abah saya, dan minta tolong cek berapa coverage insurans MLTT rumah ni dulu. (Harapnya baki makin berkurang). Saya memang taktau apa-apa sebab masa bina rumah ni saya kecil lagi. Manalah nak tau huhu. Petugas yang jawab panggilan pun mesra, dan dia kata akan hubungi saya semula selepas dia semak fail arwah abah saya nanti. Harapnya janji ditepati.


Permohonan baru LPPSA

Ini pula sekadar info bagi yang sedang dalam proses permohonan pinjaman, bermula bulan 2 kena pakai borang atas nama LPPSA.

TRANSFORMASI BPP KE LPPSA MULAI 1 JANUARI 2016
  1. Penjawat Awam boleh memohon pembiayaan perumahan melalui laman sesawang LPPSA (www.lppsa.gov.my).
  2. LPPSA telah melantik Panel Peguam bagi menguruskan dokumen pembiayaan. Namun, sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, peminjam boleh memilih untuk menggunakan khidmat Panel Peguam yang telah dilantik LPPSA ataupun peguam yang bukan panel bagi urusan dokumentasi tersebut.
  3. Penyerahan akhir dokumen pembiayaan: Mulai 1/1/2016, semua dokumen pembiayaan baru akan digunakan atas nama LPPSA. Namun begitu, dokumen pembiayaan yang telah disediakan atas nama Bahagian Pinjaman Perumahan sebelum tarikh tersebut boleh digunakan dan hendaklah diserahkan kepada LPPSA untuk diproses sebelum 31/1/2016. Semua pemohon tidak perlu memperbaharui dokumen pembiayaan sekiranya kesemua dokumen pembiayaan yang lengkap atas nama Bahagian Pinjaman Perumahan telah diserahkan sebelum 31/1/2016. Mulai 1/2/2016, hanya dokumen pembiayaan atas nama LPPSA akan diterima bagi semua permohonan baru.
  4. LPPSA akan melantik Panel Insurans baru. Semua permohonan pinjaman akan menggunakan Panel Insurans LPPSA yang akan dimuat naik di laman sesawang LPPSA (www.lppsa.gov.my) mulai 1 Januari 2016. PruBSN Takaful pon panel juga tau.

Secara kesimpulannya, pada pendapat saya peralihan BPP ke LPPSA telah menaiktaraf mutu perkhidmatan secara keseluruhan (setakat ini dan setakat pengalaman saya). Bagaimana dengan pengalaman anda pula? =))

Friday, February 5, 2016

BONUS TABUNG HAJI 2015

dividen tabung haji 2016

Bonus Pendeposit TH 2015

5.0%

BONUS TAHUNAN
+
3.0%

BONUS HAJI*
Pengiraan Bonus Pendeposit TH 2015 adalah seperti berikut:
BONUS PENGIRAAN
Bonus Tahunan TH (5.00%) Akaun Pendeposit TH Aktif
Kiraan:
Baki purata minima bulanan akaun TH (Jan-Dis 2015)/12 bulan) x 5.00%
*Bonus Haji (3.0%) Akaun Pendeposit Belum Tunai Haji
Akaun simpanan yang baki purata RM9,980 atau kurang
Kiraan:
Baki purata minima bulanan ≤ RM9,980 (Jan-Dis 2015)/12 bulan) x 3.00%
Bermula pada Rabu, 10 Februari 2016 para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Bonus Pendeposit TH 2015 melalui kaunter TH atau ATM bank-bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamic.

NOTA:* Bonus Haji – Bonus haji adalah bonus khas yang diberi kepada para pendeposit TH yang belum pernah menunaikan haji dan terhad kepada bayaran haji semasa (RM9,980).
Sila muat turun FAQ (PDF) disini.


Alhamdulillah. Lain kali janganlah percaya sangat desas-desus yang tak ketahuan sumber dari whatsapp group ke FB semua ni. In sha Allah duit anda semua masih selamat kat Tabung Haji nun. Jadi anda semua bolehlah mula mengemaskini buku Tabung Haji masing-masing di kaunter yang sepatutnya bermula 10 Feb ni ya.

Thursday, February 4, 2016

PILIH UNTUK KEKALKAN KADAR CARUMAN KWSP 11%

Assalamualaikum semua=))

Pada firasat  saya (amboi!), semua dah tau ye pengumuman kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman terendah  KWSP untuk pekerja-pekerja di Malaysia ni. Daripada 11% dikurangkan lagi 3%, kepada 8%. Jadi kalau orang yang gajinya RM3000, selama ni dia mencarum KWSP sebanyak RM330, bermula gaji untuk bulan Feb ni dia hanya akan mencarum RM2400. Maknanya ada 'pertambahan' duit yang kita boleh belanja lah..

Tapi ianya adalah optional. Boleh pilih untuk kekalkan kadar caruman pada 11%. Ada borang yang disediakan. Boleh isi borang, hantar pada majikan dan majikan akan submit pada KWSP. Saya pasti kat kebanyakan syarikat dah mula agihkan borang ni kan.

Pada pendapat saya sebolehnya kekalkanlah pada 11%. Sebabnya:
  1. Mungkin sekarang nampak macam ada duit belanja lebih, tapi nanti simpanan kita jadi semakin sikitlah. Dahlah nak simpan untuk persaraaan tu pun dah dipaksa. Ni jadi lagi sikit dikhuatiri tak boleh survive pula bila bersara nanti.
  2. 3% yang dimasukkan dalam gaji tu akan dikira sebagai pendapatan yang boleh dicukaikan (taxable income). Jadi nampak saja macam kita dapat banyak, sebenarnya kita akan membayar cukai untuk bahagian itu juga. Lagi banyak kita dapat, lagi banyak yang kena cukai sebenarnya.
Lain-lain pro and cons mungkin anda boleh pikirkan lagi. Ok ye terima kasih kerana membaca. Di bawah sebagai rujukan anda=))

--------------------------
KWSP: Pengurangan Kadar Caruman Berkanun Syer Pekerja 2016
KUALA LUMPUR, 28 Januari 2016: Selaras dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa pembentangan semakan penyesuaian semula Bajet 2016 pada hari ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan pengurangan kadar berkanun caruman syer pekerja daripada 11% kepada 8% untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun dan daripada 5.5% kepada 4% untuk pekerja berumur 60 tahun dan ke atas, mulai gaji bulan Mac 2016 sehingga bulan Disember 2017. 
Walau bagaimanapun, pekerja boleh membuat pilihan untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada 11% dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun (KWSP 17A Khas2016) dan perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada pejabat KWSP yang berhampiran.
Pekerja boleh memuat turun Notis KWSP 17A Khas2016 di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my mulai 2 Februari 2016. Manakala jadual baharu Kadar Caruman Bulanan (Jadual Ketiga) boleh dimuat turun mulai 16 Februari 2016.
Untuk makluman, tiada apa-apa perubahan pada kadar caruman berkanun syer majikan.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Monday, February 1, 2016

TIPS MOTIVASI DIRI

Assalamualaikum semua..

Apa khabar? Harapnya semua sihat sejahtera hendaknya. Adapun saya dan anak-anak agak kurang sihat dengan demam batuk dan selsema. Tapi masih syukur Alhamdulillah banyak lagi nikmat kurniaan Tuhan yang boleh kita syukuri.

Sedar tak sedar dah pun masuk bulan Feb. Pantas masa berlalu! Melihat kembali, mak aih satu entry je bulan Januari hari tu. Ampun maafkanlah saya. Saya masih lagi menyusun strategi demi strategi demi pembaikpulihan kehidupan secara menyeluruh ewah!

Apapun hari ni alang-alang saya menulis ni, biarlah sesuatu yang mendatangkan sedikit manfaat hendaknya. Suka saya nak kongsikan tips motivasi yang saya dengar dalam IKIMFM pagi tadi. Nama ustaznya ampun maaf saya tak sempat nak catch up. Ini adalah 2 tips untuk sentiasa bermotivasi tinggi dalam menjalani kehidupan lebih-lebih lagi sebagai pekerja sehari-hari.

  1. Elakkan dari merasakan diri kita ini cukup sempurna. Kalau kita rasa dah cukup sempurna sangat, nanti takut kita tak nampak kat mana lagi ruang kita boleh perbaiki diri. Ni yang jadinya kalau orang tegur sikit kita nak melenting agaknya ya.
  2. Sentiasa ceriakan diri dengan berfikiran positif. Ni selalu kita dengar kan. Tapi kadang tu nak praktik kan tu yang agak sukar. Maka ustaz ni bagi satu contoh, Saudara Tuah Atan, seorang kelainan upaya yang berkhidmat sebagai Peguam Sivil dan Peguam Syarie. Hebatnya ibu bapa saudara Atan ni, berfikiran positif sejak dari kelahiran anak mereka yang istimewa ni lalu dinamakan dengan nama Tuah.
 Berikut saya pinjam dari utusan.com.my untuk rujukan anda.

Tuah Atan tokoh OKU Maal Hijrah Melaka

Mohd. Khalil Yaakob menyampaikan anugerah Tokoh Warga Istimewa Maal Hijrah kepada Tuah Atan (kanan) sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk seri Mohd Ali Rustam (kiri) di Masjid Al-Azim, Melaka, semalam.
- Bernama


MELAKA 29 Dis. - Dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan cacat tangan kiri, namun semua itu tidak menghalang Tuah Atan daripada bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan.
Semangat dan sikap tidak putus asa yang ditunjukkan oleh Tuah, 48, dari Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling di sini melayakkan beliau menerima Anugerah Tokoh Warga Istimewa Maal Hijrah 1430H Negeri Melaka.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM750, sijil dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada majlis sambutan Maal Hijrah 1430H peringkat negeri di Masjid Al-Azim di sini malam tadi.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Tuah yang bertugas sebagai Peguam Sivil dan Peguam Syarie beranggapan kejayaan yang diraihnya itu adalah penghargaan kepada seluruh golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Mendapat pendidikan awal di English School 1 Bandar Hilir dan Malacca High School sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang undang-undang, Tuah berkata, banyak cabaran terpaksa ditempuhnya kerana ketika itu tiada sekolah khas untuk orang cacat anggota seperti beliau.
"Macam sekolah cacat penglihatan dan sekolah pekak bisu, ada sekolah khas, kalau orang seperti saya kena pergi sekolah biasa.
"Halangan memang banyak seperti bilik air jauh, kantin jauh, meja tinggi, perpustakaan di tingkat dua dan banyak lagi," katanya.
Tuah mengatasi halangan itu dengan bantuan guru dan rakan yang sentiasa prihatin dengan keadaannya.
"Alhamdulillah berkat kasih sayang guru, ibu bapa dan rakan, Allah SWT telah memberi saya kekuatan untuk menjalani kehidupan seperti orang normal dalam alam persekolahan, alam universiti dan alam pekerjaan," katanya.
Beliau meminta ibu bapa yang mempunyai anak OKU agar tidak bimbang atau malu, sebaliknya memberi perhatian penuh dan pelajaran untuk anak itu berjaya pada masa depan.
"Kita jangan jadikan kekurangan ini sebagai satu alasan untuk kita sembunyikan anak OKU, untuk asingkan dia kerana kita sebagai ibu bapa kalau tidak memberi ruang dan peluang kepada mereka, mereka tidak akan pergi ke mana (tidak berjaya)," katanya.
Tuah berharap masyarakat OKU dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat Orang Upaya (OU) setelah Akta OKU dibentangkan di Parlimen pada Disember 2007.
Beliau adalah antara penggubal utama dalam kerja-kerja merangka dan menyedia Akta OKU 2007 sehingga berjaya dibentangkan pada 17 Dis 2007.
-Bernama

Terima kasih kerana sudi membaca!